ONETOBILUNG AKAN KEMBALI...RELAX, TENANG DAN BERGEMBIRALAH SEMENTARA BERUPAYA UNTUK BERGEMBIRA

Thursday, September 24, 2015

BERMINAT MENJADI GURU...

SENARIO SISTEM PENDIDIKAN DI MALAYSIA
Berminat sebagai guru...,     Ramai pelajar lepasan SPM dan juga mereka yang sudah memiliki segulung Ijazah bertanya. Tahniah!  Saya difahamkan bahawa terdapat 11 laluan untuk menjadi seorang guru?




1. Laluan SPM - IPG - SK
Ini antara laluan paling mudah bagi menjadi seorang guru. Pelajar lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang (4/5 A dan ke atas) boleh memohon kemasukan ke Institut Perguruan Malaysia (IPGM) atau lebih dikenali sebagai Maktab Perguruan suatu ketika dahulu. Mereka ini akan dilatih selama 1 tahun persediaan dan 4 tahun tambahan bagi program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Seterusnya akan berkhidmat sebagai guru di Sekolah Rendah. Malah bagi meningkatkan kualiti pendidikan guru, KPM juga menyediakan laluan khas terus temuduga kepada pelajar lepasan SPM yang mendapat straight A yang berminat untuk menjadi guru. 

2. Laluan SPM - Matrikulasi - Universiti - SMK

Bagi mereka yang berminat untuk menjadi guru di sekolah menengah, ada laluan lain yang boleh anda cuba. Selepas mendapat keputusan yang baik untuk SPM, anda boleh memohon masuk ke Kolej Matrikulasi. Secara umumnya, keputusan SPM anda perlu lah kredit bagi semua subjek. Semasa di Kolej Matrikulasi, dapatkan keputusan peperiksaan yang bagus untuk memohon universiti yang menawarkan program bagi perguruan.  

3. Laluan SPM - STPM - Universiti - SMK
Ada juga pelajar yang mahu menjadi guru sekolah menengah ataupun guru bagi subjek yang diajar di sekolah menengah, seperti Kimia, Fizik, Biologi, Ekonomi, Perdagangan dan lain-lain, maka mereka boleh memilih laluan ini. Iaitu menyambung ke Tingkatan 6, dan seterusnya sambung belajar di universiti.

4. Laluan STPM - Universiti - SMK

Laluan ini adalah lebih kurang seperti laluan di atas, di mana pelajar Tingkatan 6 yang mendapat keputusan STPM yang cemerlang, kemudiannya sambung belajar program perguruan di universiti. Majoriti daripada mereka akan dipostingkan untuk mengajar di sekolah menengah, kecuali jika dinyatakan subjek di sekolah rendah. 

5. Laluan Diploma - Universiti - SMK

Laluan ini pula adalah laluan bagi mereka yang menyambung pelajaran ke peringkat Diploma terlebih dahulu. Selepas SPM, mungkin dah hilang rasa nak belajar di sekolah, maka pergi lah sambung belajar Diploma di mana-mana IPTA yang menawarkan program tersebut. 

Setelah memiliki Diploma, maka bolehlah memohon bagi sambung belajar untuk peringkat Ijazah Sarjana Muda khusus dalam bidang perguruan di universiti yang menawarkan. Tambahan 4 tahun lagi bagi menyiapkan pengajian di peringkat ini. Namun ada juga universiti yang membenarkan beberapa subjek Universiti dikecualikan, maka dapatlah siapkan ijazah ini dengan tempoh yang lebih pendek.

6. Laluan Ijazah - DPLI - SMK

Ini pula adalah laluan bagi mereka yang sudah mempunyai ijazah sarjana muda, tetapi dalam bukan bidang perguruan. Maka anda bolehlah memohon kursus DPLI, iaitu Diploma Perguruan Lepasan Ijazah. 

Bezanya dengan kursus KPLI yang biasa kita dengar adalah DPLI dilaksanakan di universiti, bukan di IPG seperti KPLI. Dan juga DPLI adalah bagi guru untuk sekolah menengah, manakala KPLI adalah bagi guru untuk sekolah rendah.

Sedikit elaun disediakan bagi mereka yang terpilih bagi mengikuti program ini. Namun ada perjanjian kontrak dengan KPM selama 2 tahun.

7. Laluan Ijazah - KPLI - SK

Ini adalah laluan perguruan yang paling biasa kita dengar, iaitu KPLI, Kursus Perguruan Lepasan Ijazah. Saya sendiri adalah satu daripada produk KPLI suatu ketika dahulu. Kini lepasan KPLI hanyalah untuk bakal guru yang dipostingkan ke sekolah rendah sahaja. Nak sekolah menengah, anda boleh cuba DPLI seperti di atas.

KPLI dilaksanakan di IPG, selama 1 tahun. Walau bagaimanapun, atas faktor bilangan guru dan subjek yang tidak seimbang dan berlebihan, faktor pelajar Ijazah Sarjana Muda Perguruan ISMP yang tidak dapat posting, maka program ini dikurangkan pengambilannya. 
Jika ada pun hanya terhad kepada subjek kritikal seperti Bahasa Inggeris, KHB, Pendidikan Khas dan lain-lain lagi yang diperlukan dalam kadar yang segera. Jika dibuka pun, saingannya sangat lah sengit. Semoga berjaya! 
8. Laluan Ijazah - JQAF - SK
Bagi mereka yang memiliki ijazah dalam bidang pengajian Islam, Bahasa Arab atau yang berkaitan dengannya, maka anda boleh cuba laluan ini. Mereka yang memohon dan ditawarkan program ini, diberi peluang untuk terus menjadi Guru JQAF di sekolah yang ditetapkan. 
Dalam masa yang sama, pada waktu cuti sekolah, mereka harus mengikuti pengajian semasa cuti sekolah selama 2 tahun. Selesai saja program JQAF ini, maka akan ada reposting semula. Bergantung kepada nasib dan kekosongan, tempat posting mungkin boleh jadi sekolah lama, atau pun sekolah baru. 
9. Laluan Ijazah - MRSM
Selain daripada itu, anda juga boleh cuba nasib untuk menjadi guru MRSM, Maktab Rendah Sains MARA, terutamanya jika anda pernah ada kena mengena dengan MARA. Sama ada bekas pelajar, bekas penerima biasiswa MARA atau apa-apa yang berkaitan dengan pendidikan MARA. 
Caranya boleh tengok iklan di MRSM tertentu dari masa ke semasa. Ini bergantung kepada kekosongan subjek dan keperluan. Seperti guru lain juga, program perguruan bagi guru sebegini dijalankan semasa cuti sekolah. Keutamaannya tentulah akan diberikan kepada bekas penerima biasiswa MARA. Tapi, anda boleh cuba juga. Mana lah tahu ada rezeki jadi cikgu MRSM.  
10. Laluan Ijazah - Sekolah Swasta
Jika dah cuba MRSM dan sekolah lain, tapi blom ada rezeki, maka anda boleh cuba memohon sebagai guru sekolah swasta dan sekolah antarabangsa. Keperluannya tentulah lebih bersifat memilih pada subjek, kelayakan bakal guru dan juga kelebihan tertentu.
Laluan ini merupakan satu laluan yang baik bagi mereka yang sentiasa inginkan cabaran dalam bekerjaya. Gaji pun tentu lebih lumayan jika dibandingkan dengan guru-guru kerajaan nih. Risikonya menjadi guru di sekolah sebegini, kontrak takkan disambung jika tidak menunjukkan prestasi yang membanggakan. 
11. Laluan Ijazah - Teach for Malaysia - SMK/ SK
Ini satu lagi laluan baru yang saya dapat tahu. Anda boleh sertai NGO Teach For Malaysia yang aktif dalam menyediakan guru-guru bagi subjek kritikal di sekolah-sekolah yang sangat memerlukan guru. 
Mereka yang memohon bagi mengikuti program Teach For Malaysia ini akan disaring dan diberikan sekolah untuk posting. Semasa hujung minggu mereka perlu menghadiri kursus pemantapan perguruan bersama-sama rakan Teach For Malaysia yang lain. Kontrak adalah selama 2 tahun, seterusnya mereka boleh memilih untuk terus menjadi guru atau berhenti.

Program Teach For Malaysia ini juga direstui oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, malah semakin giat dipromosikan melalui laman sosial dalam setahun 2 ini. 
Sebenarnya ada juga usaha saya untuk mendapatkan maklumat terus daripada Teach For Malaysia mengenai program ini. Namun tak berjawab. Mungkin terlalu sibuk menguruskan bakal-bakal guru yang mahu menyertai Teach For Malaysia nih..

So, terkejut kan? Tak sangka ada banyak cara bagi anda di luar sana yang sangat ingin bergelar seorang cikgu. Maka, usahakanlah mengikut seperti yang anda rancangkan. Dan apabila berpeluang menjadi seorang guru kelak, janganlah disia-siakan peluang, tanggungjawab dan amanah yang anda pikul sebagai seorang guru! 

Tahniah sebab memilih kerjaya cikgu sebagai pilihan anda.. dan Semoga berjaya!






No comments: