ONETOBILUNG AKAN KEMBALI...RELAX, TENANG DAN BERGEMBIRALAH SEMENTARA BERUPAYA UNTUK BERGEMBIRA

Monday, April 25, 2011

9. PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN DALAM MASYARAKAT TOBILUNG


9.1  PERKAHWINAN DAN PELBAGAI PANTANG LARANG 

9.1.1  Merisik
Seorang lelaki yang berhajat mengahwini seorang perempuan, hendaklah membuat risikan terlebih dahulu. Merisik bererti mengetahui kedudukan si perempuan yang ingin dikahwini sama ada masih bujang atau sebaliknya. Selain itu, merisik juga bertujuan mengenali budi pekerti seseorang perempuan yang bakal dijadikan sebagai teman hidup.

9.1.2  Kaedah Merisik
Apabila membuat risikan, pihak lelaki harus melantik seorang perisik yang digelar ‘bantaran’ untuk menjalankan tanggungjawab merisik seterusnya menjadi orang perantaraan antara pihak lelaki dan pihak perempuan. Bantaran mestilah seorang yang mahir dalam adat istiadat, jujur dan ikhlas. Tugas bantaran ialah merisik, seterusnya menghantar ‘sinsing’, sebagai perantara menentukan tarikh upacara pertunangan, perantaraan semasa bicara adat ( mirayat ) berian ‘nopung’ dan sehinggalah selesai upacara perkahwinan.
                                                                 
9.1.3  Menghantar Singsing
Selepas merisik dan mengetahui bahawa si perempuan yang dirisik masih bujang maka pihak lelaki akan menghantar sebentuk sinsing kepada keluarga pihak perempuan sama ada menerima pinangan lelaki atau tidak. Jika Pihak perempuan tidak menerima, sinsing yang dihantar itu akan dikembalikan dengan kadar segera. Jika pihak perempuan menerima pinangan maka keluarga perempuan akan berpesan kepada bantaran agar pihak lelaki datang meminang pada masa yang ditetapkan seterusnya upacara pertunangan dijalankan serta mengatur bicara adat berian dan menetapkan tarikh perkahwinan.
                                                                                                                                                
9.1.4  Majlis Pertunangan
a) Upacara pertunangan
b) Bicara mengatur berian ‘nopung’
c) Menetapkan majlis perkahwinan
d) Menjatuhkan adat lapik ( taklik ) pertunangan oleh Ketua Kampung
e) Jamuan makan dan minum
f) Majlis akan dihadiri oleh keluarga pihak lelaki dan perempuan serta saudara mara.

(I) Hantaran Menunang
a) Cincin emas
b) Kain / pakaian
c) Wang dan sebagainya

(II) Berian ‘Nopung’
lazimnya, selepas sahaja upacara pertunangan dijalankan maka kedua-dua pihak iaitu pihak lelaki dan pihak perempuan akan berpakat untuk mengatur berian ‘nopung’ yang akan dikendalikan oleh Ketua Kampung pihak perempuan. Di peringkat inilah bantaran yang dipilih memainkan peranan besar dan rumit kerana akan menjadi penghubung dan penyampai maklumat kepada pihak lelaki dan pihak perempuan berhubung dengan persetujuan tentang bayaran berian ‘nopung’ yang diminta dan ditetapkan oleh pihak perempuan.
a) Panding bertutup kumanis
b) Sabpa bertutup gong
c) Sabpa bertutup gong(?)
d) Luping besar ( tajau ) bertutup tinukul
e) Kerbau 1 ekor
f) Tinukul ( Sinawing )
g) Rampanau ( tajau kecil mempunyai telinga ) sebagai niodop

Pada zaman dahulu ‘nopung’ yang digunakan sebagai hantaran perkahwinan adalah berbentuk ‘dapu’ atau harta seperti gong dan tempayan. Walau bagaimana pun di zaman moden ini semua bentuk hantaran itu boleh ditukar dalam bentuk wang yang senilai dengannya.
                     
9.1.5  Majlis Perkahwinan
(I) Dihadiri oleh keluarga pihak lelaki dan pihak perempuan, sanak saudara dan orang ramai.

(II) Pakaian Pengantin Lelaki
a) Seluar panjang hitam
b) Baju sinupakan
c) Tanjak ‘sigar’
d) Selindang ‘musala’
e) Tali pinggang ‘sinabala’
f) Pedang / ‘keris’

(III) Pakaian Pengantin Perempuan
a) Sarung ‘tapi linongkitan’
b) Baju ‘sinurangga linongkitan’
c) Tudung ‘sunduk linongkitan kigiring’
d) Selindang ‘sinabala’
e) Karo
f)  Binolit
g) Lungkaki

(IV) Perhiasan Pelamin

(V) Perarakan ketibaan pengantin lelaki
a)  Pengantin lelaki diapit 2 orang pengapit (magat) dengan rombongannya di arak ke rumah pengantin perempuan dengan iringan paluan gong ‘pongigalan’ dan tarian ‘mongigol’.
b) Upacara membasuh kaki iaitu ketika menaiki rumah pengantin perempuan
c) Upacara momulu sigar / monurud tokobuk pengantin lelaki.
d) Upacara miilang.
e) Upacara lapik perkahwinan ( taklik ) oleh Ketua Kampung sebagai tanda sah perkahwinan.
 

9.1.6  Perkara Yang Membatalkan Perkahwinan
Ada beberapa keadaan atau Pantang larang yang boleh membatalkan perkahwinan. Pantang larang yang boleh membatalkan perkahwinan ada 3 bentuk iaitu Kopiyoon ( alamat tidak baik ), Raat Tinipi ( mimpi buruk ) dan Okosupan.

Tafsiran Pantang Larang
1) Kopiyoon
Dalam perjalanan pengantin lelaki menuju ( pergi ) ke rumah pengantin perempuan tiba-tiba ditengah jalan rombongan mendengar bunyi burung yang dipanggil ‘mongontik’ dalam bahasa Tobbilung atau berjumpa dengan binatang seperti kijang dan rusa maka perjalanan rombongan tersebut terpaksa dibatalkan atau berpatah balik. Tetapi salah seorang wakil rombongan pengantin lelaki harus menyampaikan perkara tersebut kepada pihak perempuan.
2) Raat Tinipi
Dalam menunggu tarikh untuk melansungkan perkahwinan, tiba-tiba salah satu pihak yang berkahwin itu bermimpi buruk seperti mimpi kahwin, memotong kerbau dan apa-apa mimpi yang mendatangkan keraguan atau tidak diingini maka perkahwinan tersebut terpaksa akan ditangguhkan atau dibatalkan jika pihak yang bermimpi itu merasakan sesuatu yang tidak sedap hati ‘arawog ginawo’.
3) Okosupan
Dalam menunggu tarikh untuk melansungkan perkahwinan, tiba-tiba berlaku kematian sama ada di pihak keluarga lelaki atau perempuan maka perkara ini harus disampaikan kepada pihak sebelah untuk menimbangkan perkara yang harus dilakukan sama ada membatalkan atau menangguhkan perkahwinan tersebut.
Nota:
1. Walau bagaimanapun ada adat yang boleh mengimbang atau dipercayai penolak bala tersebut iaitu sogit jika ada berlaku seperti salah satu perkara pantang larang tersebut.
2. Pantang larang tersebut jika tidak dipatuhi dipercayai suami isteri akan di timpa pelbagai penyakit dan pendek umur (mati). Dan kadang-kala ibubapa suami isteri juga akan di timpa pelbagai penyakit dan pendek umur (mati).
3. Oleh itu si lelaki yang mahu berkahwin dikehendaki membayar adat sogit kepada pihak perempuan
iaitu, 1 ekor babi besar dan 1 buah tinukul.
Peringatan
Walau pun ada adat seperti di atas tidak semestinya terpakai. Sekiranya ada perasaan was-was dan syak wasangka yang timbul maka terpulanglah kepada budi bicara kedua-dua belah pihak, tidak ada paksaan untuk menerima adat tersebut kerana balanya amat berat. Sekiranya perkahwinan terpaksa dibatalkan berpunca dari pantang larang tersebut maka tiada pendakwaan boleh dibuat.
 

9.1.7  Pantang Larang Masa Menghantar Sinsing
Sekiranya sinsing terjatuh semasa dalam perjalanan atau ketika ‘papatayid’ maka penghantar sinsing ( bantaran ) tersebut mesti terlucut dengan sendirinya dan diganti dengan orang lain.
Bantaran yang cuai sehingga menyebabkan sinsing terjatuh boleh dikenakan adat sogit 1 ekor ayam besar dan pulanut dibayar kepada pihak lelaki.

9.1.8  Pantang Larang Orang Yang Baru Kahwin             

Tidak boleh terkena hujan sebelum makan adat panansab, kerana jika terkena hujan dipercayai jika sudah mempunyai anak maka anak tersebut akan terkena penyakit ‘gandas’.Adat panansab ialah:-
a) Umbut pisang
b) Umbut rotan soworingan
c) Umbut rukatan

9.1.9 Adat Istiadat Setelah Memperoleh Anak
i. Mengadakan upacara makan sireh ‘popoingat’ setelah umur anak genap 7 hari dan pada masa yang sama memberi nama kepada si anak tersebut. Semasa upacara ini majlis makan dan minum juga akan disediakan mengikut kemampuan.
 

ii. Mengadakan upacara ‘monggorimpun’ setelah umur anak genap 30 hari ( 1 bulan ). Upacara ini dikendalikan oleh ‘bobolian’.
 

iii. Barangan Yang Di Pakai dalam Upacara Mongorimpun
a) 1 ekor ayam jantan
b) 1 bilah parang rapo
c) 1 buah tinukul
d) 1 buah gendang
e) 1 batang buluh ‘tinungkabar’

iv. Upacara ini dikendalikan oleh bobolian
 

v. Upacara ‘mongorimpun’ dijalankan dengan dua cara iaitu pertama, cara palapayan
dan kedua, cara popiyoson.
 

vi. Pengeras mengaji ‘mongorimpun’ cara palapayan sebanyak 80 sen
 

vii. Pengeras mengaji ‘mongorimpun’ cara popiyoson sebanyak 50 sen

viii. Tafsiran(move to senarai istilah)
a) Mongorimpun - mengembalikan semangat seseorang
b) Palapayan - cara berlagu dan cakap biasa
c) Popiyoson - cara berteriak dan cakap biasa

9.1.10  Adat Berladang
a) Mangagang - menebas, menanda
b) Madsalud - mengaji
c) Momodsu tonomon - memandikan bibit padi
d) Mangarantas - menghilangkan penyakit padi
e) Monimbu-timbu - memberi makan semangat padi
f) Tumimpuun/ponimpunan - memulakan mengetam padi
g) Mamaagi - membahagikan hasil padi kepada orang halus

9.2  PERCERAIAN DAN DENDA ADAT DALAM MASYARAKAT TOBILUNG
Kaum Tobilung melarang keras perceraian antara suami isteri tanpa sebab-sebab yang munasabah. Walau bagaimana pun perceraian tidak dapat dielakkan. Perceraian kerapkali berlaku bukan sahaja kepada pasangan yang masih muda, malahan kepada mereka yang sudah lanjut usia. Dalam hal ini, hukum adat ada peruntukan seperti berikut.
 

9.2.1 Perceraian Berlaku Apabila
a) Perbuatan curang
b) Tidak hormat menghormati antara satu dengan lain
c) Kuat bergaduh
d) Kuat minum arak dan malas bekerja
e) Suami kahwin lagi ( poligami )
f)  Kuat cemburu buta
g) Suami meninggalkan isteri atau sebaliknya
h) Tidak ada kerukunan rumahtangga dan tiada tanggungjawab sebagai suami-isteri

9.2.2  Peruntukan Adat
a. Pihak Lelaki
Jika lelaki menceraikan isterinya tanpa sebab yang munasabah selain daripada belanja anak, haruslah menjelaskan semua berian jika belum dilunaskan dan dikenakan membayar adat cerai 1 ekor kerbau (sumandak) kepada isteri yang dicerai.
b. Pihak Perempuan
Jika si isteri menceraikan suaminya tanpa sebab yang munasabah maka akan dikenakan membayar adat cerai 1 ekor kerbau (indung) kepada suami yang dicerai.
 

9.2.3  Proses Perceraian
a) Kes suami isteri dibicarakan
b) Keputusan / Hukuman
c) Sijil / Surat cerai dikeluarkan oleh Mahkamah Anak Negeri.

9.2.4  Pembahagian Harta Apabila Bercerai
Ada dua jenis harta yang berkaitan dengan harta perkahwinan.
a) Harta sendiri baik suami mahupun isteri yang dibawa dari keluarga masing-masing dalam rumahtangga suami isteri.
b) Harta sepencarian yang diperolehi bersama semasa suami isteri.

Perbedaan kedua jenis harta perkahwinan ini adalah penting untuk pembahagian harta benda jika berlaku perceraian antara suami isteri. Lazimnya jika berlaku perceraian maka harta perkahwinan mestilah dibahagikan mengikut kaedah berikut.
a) Harta sendiri baik suami atau isteri hendaklah dipegang atau diambil masing-masing.
b) Harta yang diperolehi melalui pencarian bersama hendaklah dibahagi dua.

9.2.5  Kedudukan Anak Apabila Bercerai
1) Anak yang masih dibawah umur atau masih menyusu mestilah di bawah jagaan ibu.
2) Anak yang berumur 16 tahun ke atas diberi pilihan sama ada mengikut bapa atau ibu. Keputusan di tangan anak.

9.2.5  Perbelanjaan Anak Apabila Bercerai
Mengenai dengan perbelanjaan anak-anak apabila berlaku perceraian sama ada melalui muafakat atau tidak maka si bapa adalah dipertanggungjawabkan untuk memberi belanja bulanan mengikut persetujuan atau pertimbangan ketua adat tetapi tidak kurang RM 10.00 sebulan.

No comments: