ONETOBILUNG AKAN KEMBALI...RELAX, TENANG DAN BERGEMBIRALAH SEMENTARA BERUPAYA UNTUK BERGEMBIRA

Monday, April 25, 2011

7. PERLANGGARAN ADAT DALAM PERKAHWINAN

7.1  Adat Kababaan Totuo
Sepasang suami isteri, kemudian adik atau abang kepada si suami berkahwin pula dengan anak kemanakan isteri tadi. Si adik atau si abang yang berkahwin dikenakan membayar adat kababaan totuo kepada suami, isteri tersebut kerana sebelumnya si isteri dan si suami sebagai iparnya dan abang atau adiknya menjadi mentuanya selepas berkahwin dengan anak kemanakan isteri tersebut.
Adatnya;
(a) Membayar adat sogit 1 ekor babi dan
(b) Membayar adat pulanut 1 buah tinukul, dibayar kepada suami isteri tersebut

7.2  Adat Kababaan Tomulok
Sepasang suami isteri, kemudian sepupu si isteri berkahwin pula dengan anak kemanakan si suami tadi, sepupu si isteri yang mahu berkahwin dikenakan membayar adat kababaan tomulok kepada suami isteri tersebut kerana sebelumnya sebagai ipar dan sepupu menjadi mentua selepas berkahwin dengan anak kemanakan si suami tersebut.
Adatnya;
(a) Membayar adat sogit 1 ekor babi dan
(b) Membayar adat pulanut 1 bilah parang dibayar kepada suami isteri tersebut.
Kes pd 29hb.5.2011- Juru Adat,Malong Bontol,Kg.Toburon Puka - fakta kes; Tiwanon kepada sepasang suami isteri (tiwanon si lelaki) berkahwin dengan anak buah si lelaki(menantunya) , juru adat mengenakan adat kebabaan tomulok dengan mengenakan 2 ekor ayam (Tagayo) dan sebilah parang. Si Tiwanon tadi di kenakan membayar adat kebabaan tomulok ini kepada menantunya(yg kini menjadi tiwanonnya pula) hehehhee... ada komen? kenapa tidak 1 ekor babi?

7.3  Adat Panggor Nginan
Seorang lelaki dengan anak kemanakannya tetapi sudah jauh berkahwin, maka orang tua yang terdapat didalam keluarga perempuan yang adalah sebagai pakcik si lelaki yang berkahwin dan sebagai datuk kepada si perempuan yang berkahwin, maka si lelaki yang berkahwin dikenakan membayar adat panggor nginan kepada orang tua tersebut.
Adatnya;
(a) Membayar adat sogit panggor nginan 1 ekor babi dan
(b) Membayar adat pulanut 1 buah tinukul dibayar kepada orang tua tersebut

7.4  Adat Gayo Babut
Seseorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan yang adalah sepupunya tetapi sudah jauh, si lelaki yang berkahwin dikenakan membayar adat gayo babut kepada orang yang berada didalam keluarga perempuan yang dia adalah pakcik kepada kedua-dua belah pihak yang berkahwin.
Adatnya;
(a) Membayar sogit 1 ekor ayam dan
(b) Membayar adat pulanut 1 bontuk dibayar kepada si pakcik tersebut.
(Pelaksanaan adat ini sebaik-baiknya di rumah perempuan yang berkahwin, mengadakan majlis kecil makan dan minum ) 

7.5  Adat Kosulakan
Sepasang suami isteri, kemudian adik atau abang lelaki si isteri tadi, berkahwin pula dengan adik atau kakak perempuan si suami, maka si adik atau si abang isteri tadi yang berkahwin dikenakan adat kosulakan kepada suami isteri tersebut;-
Adatnya;
(a) Membayar adat sogit kosulakan 1 ekor babi dan
(b) Membayar adat pulanut 1 bilah parang dibayar kepada suami isteri tersebut.

7.6  Adat Kosugkuan
Sepasang suami isteri, kemudian adik atau abang si suami berkahwin pula dengan adik atau kakak si isteri, maka si adik atau si abang yang berkahwin dikenakan adat kosugkuan kepada suami isteri tersebut. Dalam kaedah ini kedua-dua si suami dan si adik atau si abang yang berkahwin dikenakan adat iaitu si suami dikenakan adat kosugkuan tomulok dan si adik atau si abang yang berkahwin dikenakan adat kosugkuan totuo.
Adatnya;
6.1 Si suami dikenakan membayar adat kosugkuan tomulok kepada si adik atau si abangnya yang berkahwin
(a) Membayar adat sogit 1 ekor ayam besar dan
(b) Membayar adat pulanut 1 bilah parang
6.2 Si adik atau si abang yang berkahwin dikenakan membayar adat kosugkuan totuo kepada si suami tersebut:-
(a) Membayar adat sogit 1 ekor babi besar dan
(b) Membayar adat pulanut 1 buah tinukul dan
(c) Membayar adat kogusaan 1 buah tinukul dan
(d) Membayar adat keeyaan tiwanon 1 buah tinukul, dibayar kepada mentuanya

7.7  Adat Kotingaan Tapi
Seorang lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang adalah makciknya tetapi sudah jauh, maka si lelaki tersebut dikenakan adat kotingaan tapi kepada perempuan yang dikahwininya.
Adatnya;
a) Membayar adat sogit kotingaan tapi 1 ekor babi dan
b) Membayar adat pulanut 1 buah tinukul, dibayar kepada si perempuan yang
dikahwininya.

7.8  Adat Pitas
Seorang lelaki yang berkahwin dengan seorang perempuan yang adalah bersaudara sedarah sedaging, maka si lelaki yang berkahwin dikenakan adat pitas. Adatnya;
(a) Membayar adat sogit pitas 1 ekor ternakan dan
(b) Membayar adat pemitas 1 bilah keris kiulu sawan
(Hukuman adat pitas ini pada umumnya ialah ternakan babi, tetapi setelah diluluskan dalam permesyuaratan Ketua-Ketua Kampung dan Tokoh-Tokoh Adat pada 17hb Julai 2002 dan pada 11hb September 2002 di Balai Muhibbah Kg. Timbang, Kota Belud, maka adat pitas ini diberi ketetapan hukumannya dengan menggunakan istilah baru iaitu ‘ternakan’ yang mana bermaksud babi, sapi dan kerbau ).
 

7.9 Adat Pingnganak Wagu
Seorang lelaki yang sudah pernah berkahwin tetapi sudah bercerai atau kematian isteri, kemudian berkahwin lagi dengan seorang perempuan yang belum pernah berkahwin, maka si lelaki tersebut dikenakan adat pingnganak wagu. Adatnya;
(a) Membayar adat pingnganak wagu 1 buah gong atau 1 ekor kerbau indung dibayar kepada perempuan yang dikahwininya.

7.10 Adat Kosondian
Sesorang lelaki yang mempunyai isteri kemudian berkahwin lagi kepada seorang perempuan lain ( poligami ) atau ‘magapid’ maka si lelaki dikenakan adat kosondian kepada isterinya yang sedia ada.
Adatnya;
(a) Membayar adat kosondian 1 buah gong atau 1 ekor kerbau indung.

7.11  Sumbang Soroi
Sepasang suami isteri, kemudian adik atau abang si suami berkahwin dengan anak tiri perempuan si suami tadi. Maka si adik atau si abang dikenakan adat sumbang soroi. Adatnya;
(a) Membayar adat sogit kepanasan kampung 1 ekor babi besar dan adat pulanut 1 buah tinukul dibayar kepada ketua adat dan
(b) Membayar adat panggor nginan 1 ekor babi dan pulanut 1 buah tinukul dibayar kepada si suami tersebut dan
(c) Membayar adat panggor nginan 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul dibayar kepada si isteri dan
(d) Membayar adat kebabaan totuo kepada si suami 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul dan
(e) Membayar adat kebabaan tomulok kepada si isteri 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang.
(f) Membayar adat sogit kepanasan kampung yang berdekatan 1 ekor babi dan
adat pulanut 1 buah tinukul kepada setiap kampung dan
(g) Membayar adat pisukud Ketua Kampung yang membicarakan kes 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul, tiap seorang pengadil ( Ketua Kampung ).
Nota: 1.Semua pembayaran sogit mestilah kepada Ketua Kampung.
2.Dan kampung yang berdekatan yang menerima adat sogit kepanasan kampung ditentukan oleh Ketua Kampung.

7.12 Adat Koonsipan
Seorang lelaki yang bekahwin dengan seorang perempuan yang ada kaitan tali persaudaraan sedarah dan sedaging, maka si lelaki dikenakan adat keonsipan kepada orang-orang yang berada di dalam keluarga perempuan yang dia adalah pak cik atau mak cik kepada dua pasangan yang berkahwin.
Adatnya;
(a) Membayar adat sogit koensipan 1 ekor ayam besar dan
(b) Membayar adat pulanut 1 bontuk                                                                                                                                                                   
7.13 Adat Kowusung
Seorang lelaki yang bersetubuh dengan seorang perempuan yang mana si perempuan adalah sebagai mentuanya tetapi sudah jauh, maka si perempuan itu tadi dikenakan adat kowusung kepada lelaki tersebut. Adatnya;
(a) Membayar adat kowusung 1 ekor babi dan
(b) Membayar adat pulanut 1 buah tinukul, dibayar kepada si lelaki tersebut.

7.14 Adat Punso Tamalang
Seorang lelaki yang sudah berkahwin dan mempunyai anak lelaki, tetapi sudah bercerai atau pun kematian isteri, berkahwin lagi kepada seorang perempuan yang juga mempunyai anak perempuan, kemudian anak lelaki tersebut berkahwin pula kepada si anak perempuan itu tadi, maka si anak lelaki tersebut dikenakan adat sumbang punso tamalang. Adatnya;
(a) Membayar adat sogit kapanasan kampung 1 ekor babi dan
(b) Membayar adat pulanut 1 buah tinukul dibayar kepada ketua kampung dan
(c) Membayar adat kebabaan totuo 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul dibayar kepada bapanya dan
(d) Membayar adat kebabaan tomulok 1 ekor babi dan adat pulanut 1 bilah parang kepada si ibu (isteri si bapa) dan
(e) Membayar adat panggor nginan kepada si bapa 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul dan
(f) Membayar adat punggor nginan kepada si isteri si bapa 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah tinukul dan
(g) Membayar adat sogit kampung kepada kampung yang berdekatan. ( Kampung yang menerima adat sogit kapanasan kampung adalah ditentukan oleh Ketua Kampung )

.

HOME(BACK TO CONTENTS)

No comments: