ONETOBILUNG AKAN KEMBALI...RELAX, TENANG DAN BERGEMBIRALAH SEMENTARA BERUPAYA UNTUK BERGEMBIRA

Monday, April 25, 2011

5. GANGGUAN SEKSUAL DAN KHIANAT

5.1  Menyentuh Perempuan
Barangsiapa yang menyentuh tubuh badan perempuan, tanpa sebab-sebab yang munasabah iaitu dengan apa juga cara atau alat dengan maksud atau niat hendak mencabul kehormatannya telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat malu 1 buah tinukul
(b) Jika pegang susu si gadis denda 1 buah tinukul
(c) Jika pegang susu wanita tua 1 buah gong

5.2  Pendedahan Lucah
Barangsiapa yang dengan sengaja atau secara terbuka dan lucah mendedahkan kemaluan atau mana-mana bahagiannya kepada mana-mana orang dengan maksud mencabul kehormatan orang itu telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat malu 1 buah tinukul.
                                                                                                                                                      
5.3  Perkataan, Bunyi dan Isyarat Lucah
Barangsiapa yang menyebut sebarang perkataan atau membuat sebarang bunyi atau membuat isyarat lucah dengan sengaja atau dengan niat hendak menghina atau menyakitkan hati orang telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat malu 1 buah tinukul.
                                                                                                                                                          
5.4  Memfitnah Orang
Barangsiapa yang menyebut sebarang perkataan dengan maksud hendak memfitnah, merendahkan, mengaibkan atau menyebabkan kekejian kepada orang telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat popiasa 1 buah gong.

5.5  Menyebar Khabar Angin
Barangsiapa yang mereka-reka cerita atau menyebar cerita palsu atau tuduhan palsu terhadap mana-mana orang iaitu dengan maksud hendak memfitnah dan mengaibkan nama baik orang telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar adat malu 1 buah tinukul.                                                                                                                                                                                              
5.6  Mengganggu Sesuatu Majlis atau Upacara
Barangsiapa yang melakukan kekacawan atau menimbulkan kekacawan iaitu dengan maksud  hendak merosakkan atau mengganggu sesuatu upacara atau majlis seperti majlis perkahwinan, pertunangan, keramaian, kenduri atau perayaan atau sebarang upacara seperti upacara pengebumian atau sembahyang mayat atau seumpama dengannya telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat ruol ginawo 1 buah gong dan
(b) Membayar adat sogit 1 ekor ayam (besar) dan adat pulanut 1 bontuk.
                                                                    
5.7  Mencemarkan Sumber Air
Barangsiapa dengan sengaja mencemarkan atau mengotorkan mana-mana mata air yang merupakan kegunaan bersama atau kolam air perkampungan atau sungai hingga menyebabkannya tercemar atau menyebabkannya tidak layak lagi bagi maksud penggunaan telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit 1 ekor babi (besar) dan adat pulanut 1 buah tinukul dan
(b) Membayar adat koyomutan 1 botol minyak kelapa dan 1 genggam kapas

Pembayaran sogit hendaklah diberikan kepada Ketua Kampung yang akan mengagihkan denda itu dengan kadar sama rata kepada setiap keluarga yang bermastautin di kampung itu.

5.8  Menceroboh Rumah Orang
Barangsiapa yang masuk ke dalam rumah orang tanpa sebab-sebab munasabah atau mencoroboh mana-mana bahagiannya telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobulung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit 1 ekor ayam (besar) dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar adat denda 1 buah tinukul.
                                                                                                                                       
5.9  Menceroboh Bilik Tidur Perempuan
Barangsiapa yang masuk ke dalam bilik perempuan tanpa sebab-sebab yang munasabah atau izin daripada pemilik atau yang empunya bilik tidur (kecuali ahli keluarga terdekat), telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat malu 1 ekor kerbau (sumandak) - perempuan dara.
(b) Adat malu 1 ekor kerbau (indung) - perempuan bersuami.
                                       
5.10 Merosakkan Harta Benda Mudah Alih
Barangsiapa yang merosakkan atau menyebabkan kerosakan kepada harta benda mudah alih kepunyaan orang tanpa sebab yang munasabah telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar ganti rugi kerosakan.
                                                                                                                                                                    
5.11 Mencederakan Ternakan Atau Unggas
Barangsiapa yang mencederakan, mencacatkan atau membunuh sebarang ternakan atau unggas kepunyaan orang tanpa sebab-sebab munasabah telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit 1ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Jika ternakan atau unggas itu mati, mesti diganti dangan ternakan yang sama besar.
(c) Membayar adat wayud.Jika ternakan,1ekor ternakan dan jika unggas,1ekor unggas.

5.12 Melempar Benda Ke Rumah Orang
Barangsiapa yang tanpa sebab-sebab munasabah melempar atau melontar sebarang benda ke rumah kepunyaan atau milik orang telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit tiguras 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar denda adat 1 buah tinukul.
                                                                                                                                           
5.13 Menyumpah Dan Mengutuk
Barangsiapa yang menyumpah atau menyebut kata-kata kutukan terhadap orang lain telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit keentulusan 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar adat denda 1 buah tinukul kepada yang terkilan.

5.14 Merosakkan Pagar
Barangsiapa yang memindah, mengubah, mencacat atau memotong dawai atau mana-mana bahagiannya di atas tanah kepunyaan atau dalam kawasan sah orang tanpa sebab-sebab munasabah telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit raat ginawo 1 ekor ayam (besar) dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membaiki kerosakan pagar atau
(c) Membayar ganti rugi membaiki pagar atau
(d)Membayar adat denda 1 buah tinukul.
                                                                                                                                           
5.15 Kerosakan yang Dilakukan Oleh Binatang
Mana-mana pemilik atau orang yang bertanggungjawab ke atas binatang yang gagal mengurung, menambat atau mengawal atau membiarkan binatang tersesat telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung, jika haiwan ternakan itu menyebabkan kerosakan harta  benda atau mana-mana bahagian kepunyaan orang lain pemilik haiwan ternakan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit ruol ginawo 1 ekor ayam (besar) dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membaiki kerosakan atau
(c) Membayar gantirugi kerosakan atau
(d) Membayar adat denda 1 buah tinukul

5.16 Merosak Serta Melepaskan Binatang Dari Kandang
Barangsiapa yang menggangu binatang kepunyaan orang atau merosakkan pagar kandangnya atau bangunan di mana binatang itu dikurung yang menyebabkan atau membolehkan binatang itu terlepas atau menceroboh kawasan pertanian orang telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit raat ginawo 1 ekor ayam (besar) dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Membayar gantirugi kerosakan atau
(c) Membaiki kerosakan atau
(d) Membayar adat denda 1 buah tinukul
                                                                                                                                           
5.17 Menebang Pokok Di Atas Tanah Orang
Barangsiapa yang memotong, menebang, memindah atau memungut mana-mana pokok yang terletak atau tumbuh di atas tanah milik orang tanpa izin atau tanpa sebab-sebab yang munasabah telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:
(a) Adat sogit raat ginawo 1 ekor ayam (besar) dan adat pulanut 1 bontuk dan
(b) Peralatan penebang pokok mesti diberi kepada yang terkilan atau
(c) Membayar adat denda 1 buah tinukul
                                                                                                                                                                      
5.18 Gangguan Kepada Empangan Atau Tembok
(i) Barangsiapa yang memindah, mengubah, mencacat atau memotong mana-mana empangan atau tembok yang dibina dan dipakai bersama oleh penduduk kampung hingga menjadikan empangan atau tembok itu tidak boleh di guna bagi maksud pembinaannya tanpa sebab-sebab munasabah telah melakukan perlanggaran undang-undang Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit ruol ginawo 1 ekor babi dan adat pulanut 1 buah Tinukul kepada Ketua Kampung
(ii) Pembayaran sogit hendaklah diberikan kepada Ketua Kampung yang mengagihkan denda itu dengan sama rata kepada setiap keluarga yang bermastautin di kampung itu.
(iii) Adat ini tidak terpakai kepada seseorang yang terikat untuk menyempurnakan waran atau atas arahan pihak berwajib dan mengikut undang-undang bertulis lain.

5.19 Mengganggu Tonduk Atau Pagon
Barangsiapa yang memindah, mengubah, mencacat atau memotong tonduk, pagon atau sebarang alat yang di tafsir sebagai penanda ke atas sebarang harta atau mana-mana bahagiannya tanpa sebab-sebab munasabah telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Adat sogit ruol ginawo 1 ekor ayam dan adat pulanut 1 bontuk.

5.20 Mungkir Janji
Barangsiapa yang enggan menunaikan janji tanpa sebab-sebab yang munasabah telah melakukan perlanggaran undang-undang adat Tobilung dan bolah dikenakan:-
(a) Adat koimanan 20 % ( dua puluh peratus ) daripada jumlah suatu perjanjian.
(b) Membayar adat babas 1 ekor ayam.

No comments: