ONETOBILUNG AKAN KEMBALI...RELAX, TENANG DAN BERGEMBIRALAH SEMENTARA BERUPAYA UNTUK BERGEMBIRA

Monday, April 25, 2011

8. PERLANGGARAN NORMA-NORMA HIDUP MANUSIA

8.1 Perbuatan Zina
Mana-mana lelaki dan perempuan yang tiada kaitan tali persaudaraan yang belum sah berkahwin membuat persetubuhan haram ( zina ) sehingga mengandung dan melahirkan anak adalah melakukan perlanggaran adat istiadat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(I) Lelaki di arah mengahwini perempuan tersebut dan dikenakan adat;
(a) Membayar adat sogit kepanasan kampung 1 ekor babi besar dan pulanut 1
buah tinukul.
(b )Membayar adat malu ibubapa perempuan 1 buah tinukul
(c) Membayar adat berian seperti biasa
(d) Membayar adat pisukud kepada Ketua Kampung 1 buah tinukul dan 1 ekor ayam.
(II) Jika si lelaki tidak mahu mengahwini perempuan itu boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat nopung 1 buah panding dan 1 buah tinukul.
(b) Membayar adat sogit kepanasan kampung 1 ekor babi besar dan pulanut 1 buah tinukul.
(c) Membayar adat malu kepada ibubapa perempuan 1 buah gong
(d) Diarah memberi belanja anak sehingga anak tersebut berumur 18 tahun.
(e) Membayar adat pisukud kepada Ketua Kampung 1 buah tinukul dan 1 ekor ayam.
8.2  Perbuatan Sumbang (incest)
Mana-mana bapa yang melakukan persetubuhan haram ( zina ) dengan anak kandungnya sehingga mengandung dan melahirkan anak adalah melakukan perlanggaran adat istiadat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat sogit kepanasan kampung ( sumbang ) 2 ekor kerbau iaitu 1 ekor kerbau(jantan) sibapa dan 1 ekor kerbau (betina) sianak.
(b) Membayar adat sogit kepanasan kampung 1 ekor babi besar dan pulanut 1 buah tinukul kepada ketua adat.
(c ) Membayar adat sogit kepanasan kampung kepada 7 buah kampung yang
berdekatan 1 ekor babi dan pulanut 1 buah tinukul setiap kampung.
(d) Membayar adat pisukud kepada ketua-ketua adat ( Ketua Kampung )
yang membicarakan kes itu 1 ekor babi dan pulanut 1 buah tinukul tiap seorang ketua adat ( Ketua Kampung ).
(e) Membayar adat pemutus hubungan bapa kandung dan anak kandung
( kopitongkiyadan mimaleeng ) 1 buah gong ( tawag ) kepada si isteri atau pun ibubapa si isteri.
(e) Sekiranya sibapa mempunyai isteri dikenakan membayar adat lapau 2 ekor
kerbau indung kepada si isteri iaitu 1 ekor lapau sibapa dan 1 ekor lapau si anak.
(g) Tidak boleh berkahwin dan dipisahkan ke tempat kampung yang berlainan.
Nota: 1. Pada masa perbicaraan kes ini, mesti memotong ( monobok ) 1 ekor babi
sebagai sogit bicara dan pulanut 1 buah tinukul dikendalikan oleh ketua adat:-
2. Tidak boleh menjalankan perbicaraan sebelum memotong ( monobok ) babi.
3. Kampung yang menerima sogit kepanasan kampung akan ditentukan oleh
Ketua Kampung.
4. Adat sogit sumbang 2 ekor kerbau itu tidak dimakan, hanya dibunuh dan
dipotong-potong hingga bercampur aduk dengan tanah. Kerbau itu adalah
sebagai ganti orang sumbang tersebut.
8.3  Lapau Namatai
Barangsiapa di antara lelaki atau perempuan setelah kematian isteri atau suami, kemudian berkahwin lagi sebelum memberi adat todung  telah melakukan perlanggaran adapt istiadat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat todung 1 bilah parang.
(b) Membayar adat lapau namatai 1 ekor kerbau kepada ibubapa simati.

Nota:- 1. Todung adalah adat cerai namatai.
2. Namatai adalah roh orang mati.
3. Adat todung ialah 1 bilah parang.

8.4  Hubungan Sejenis
Sesiapa jua lelaki yang didapati melakukan hubungan sejenis ( mibusul ) dan perempuan yang didapati melakukan hubungan sejenis ( milokop) adalah melakukan perlanggaran adat istiadat suku kaum Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat sogit kepanasan kampung 1 ekor babi dan pulanut 1 buah
tinukul dibayar kepada ketua adat.
(b) Membayar adat sumbang kampung 1 ekor kerbau dibayar kepada Ketua
Kampung untuk dipotong dan dimakan beramai-ramai.

8.5  Perbuatan Mencabul ( Magawor )
Sesiapa jua yang didapati menyelusup masuk ke bilik tidur seseorang perempuan baik melalui pintu ataupun tingkap dengan tujuan mahu mencabul atau merogol (magawor ) perempuan tersebut adalah melakukan perlanggaran adat istiadat Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat keenggoritan 1 ekor ayam dan pulanut 1 bontuk
(b) Membayar adat malu kepada ibubapa perempuan 1 buah tinukul.

8.6  Membunuh Orang
Sesiapa jua yang didapati membunuh dengan sengaja dan mengakibatkan kematian adalah melakukan perlanggaran adat istiadat suku kaum Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat bangun asangkayu 30 sinandangan kepada keluarga simati.

8.7  Disabit Membunuh
Sesiapa jua yang didapati ada kaitan dengan kematian seseorang atas tuduhan membunuh dan disabitkan dengan kesalahan membunuh dengan tidak sengaja adalah melakukan perlanggaran adat istiadat suku kaum Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat bangun asalapak 15 sinandangan kepada keluarga simati.

8.8  Membunuh Dengan Tidak Sengaja
Sesiapa jua yang didapati terlibat dengan kematian seseorang yang disebabkan
perbuatan seseorang yang tidak sengaja adalah melakukan perlanggaran adat istiadat dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat kombit bangun sonsol 2 sinandangan.
Nota: 1. Setiap adat sinandangan mesti didahului atau dikepalai dengan 1 ekor kerbau dan 1 buah gong barulah diikuti dengan adat sinandangan lain-lain seperti tajau, tinukul, sumbul, gadur dan salapa.
2. Kaedah 6, 7 dan 8 sebenarnya adalah kes jenayah dan seterusnya diserahkan kepada pihak Polis, kecuali kes ringkas yang dikembalikan oleh pihak Polis kepada Mahkamah Anak Negeri atau Ketua Kampung untuk tindakan selanjutnya.
8.9 Membunuh Ternakan Dan Binatang Peliharaan
Sesiapa jua yang didapati membunuh apa-apa ternakan seperti kerbau, sapi, kuda, babi dan sebagainya atau binatang peliharaan seperti anjing, kucing, ayam, itik dan sebagainya yang kepunyaan orang lain dengan tidak ada sebab munasabah adalah melakukan perlanggaran adat istiadat suku kaum Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat sogit 1 ekor ayam dan pulanut 1 bontuk.
(b ) Membayar gantirugi kepada pemunya ternakan.
(c) Membayar adat wayud sama besar atau nilai ternakan yang dibunuh.
8.10  Kecederaan Yang Disebabkan Oleh Binatang Ternakan
Mana-mana binatang ternakan atau peliharaan milikan orang yang telah
mengakibatkan kecederaan kepada orang lain maka pemilik binatang ternakan atau peliharaan itu adalah melakukan perlanggaran adat istiadat kaum Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Membayar adat sogit 1 ekor ayam dan pulanut 1 bontuk.
(b) Membayar kos perbelanjaan dan kos perubatan.

8.11 Melakukan Hubungan Seks Dengan Ternakan
Sesiapa jua yang didapati bersetubuh dengan binatang ternakan seperti kerbau, sapi, kuda, anjing dan sebagainya adalah melakukan perlanggaran adat istiadat kaum Tobilung dan boleh dikenakan:-
(a) Jika yang melanggar adat istiadat adalah lelaki yang beristeri atau perempuan yang bersuami dikenakan membayar adat malu kepada si isteri atau si suami 1 gong dan sogit 1 ekor ayam besar dan pulanut 1 bontuk.
(b) Membayar sogit kepanasan kampung 1 ekor babi besar dan 1 buah tinukul kepada ketua adat.
(c ) Membayar sogit kepanasan kampung kepada kampung-kampung yang berdekatan 1 ekor babi besar dan pulanut 1 buah tinukul.
(d ) Membayar adat pisukud kepada ketua adat yang membicarakan kes 2 ekor ayam besar dan pulanut 1 bilah parang.

No comments: